Sunday 27 April 2008

isteri oh isteri...

Isteri penyumbang utama kebahagiaan keluarga

Dalam al-Quran dijelaskan bahawa perkahwinan itu menjadikan suami dan isteri hidup dengan penuh kemesraan yang boleh menuju kepada ketenangan hati dan perasaan. Perkahwinan juga boleh menyebabkan suami dan isteri akan terasa tenang dan perasaan kasih sayang yang boleh membawa kepada belas kasihan. Suatu kenyataan yang tidak dapat dinafikan bahawa sebaik-baik kesenangan hidup di dunia ini ialah wanita atau isteri yang soleh seperti yang dijelaskan oleh sabda Rasulullah SAW. Ketenangan dan kebahagiaan hidup ada kaitan rapat dengan wanita atau isteri dan kebahagiaan sesebuah rumah tangga pula ada kaitan rapat dengan wanita atau isteri yang soleh dan baik.

Bagaimana untuk menilai wanita yang baik sebelum dikahwini? Dalam hal ini Rasulullah SAW telah menyatakan dengan sabdanya: “Kahwini mereka yang membesar dalam suasana yang soleh, sesungguhnya tabiat anak mempunyai hubungan rapat dengan kedua ibu bapanya.

“Cara memilih pasangan, wanita yang hidup dalam suasana soleh, lahir daripada benih yang mulia dan mempunyai keturunan yang sejahtera, suasana soleh atau baik termasuk dalam tiga keadaan iaitu, kehidupan harian, keluarga dan akhlak mulia.

Yusof Ali Bedewi, Yusuf Ali Bedewi, (terj), Mohd Asri Hashim dan Abd Latif Muda, dalam buku Asas-asas Kebahagiaan Rumah tangga Dalam Islam, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Kuala Lumpur, 1996, hlm, 42. menyenaraikan wanita-wanita yang perlu dijauhi daripada dipilih menjadi calon isteri iaitu Al-Annanah yang bermaksud wanita yang banyak mengadu dan setiap masa kepalanya merasa terbeban apabila melakukan pekerjaan sama ada untuk dirinya sendiri atau untuk suaminya.

Selain itu, Al-Mannanah pula bermaksud wanita yang mengungkit-ungkit apa yang dilakukan untuk suaminya, contohnya, aku buat itu dan ini untuk mu dan kerana kamu manakala faktor seterusnya ialah al-Hannanah iaitu wanita yang merindui suami orang, atau anaknya hasil daripada perkongsian (perkahwinan) dengan lelaki lain.

Sementara itu Al-Haddaqah pula ialah wanita apabila melihat sesuatu, dia ingin memilikinya dengan itu dia akan mendesak-desak dan memaksa suami supaya membelinya.

Ciri seterusnya ialah Al-Barraqah iaitu wanita yang menghabiskan masanya 24 jam di hadapan meja solek supaya wajahnya kelihatan menarik hasil solekan yang dilakukan, bukan untuk suaminya tetapi untuk kepuasan diri dan orang lain dan Al-syaddaqah iaitu wanita yang bermulut murai, iaitu banyak berleter kerana bercakap banyak dengan menyebut perkataan-perkataan yang boleh menyakiti hati suami dan orang lain.

Wanita seperti ini samalah juga dengan wanita yang tidak akan berpuas hati dengan pemberian suami, malah setiap pemberian suami sentiasa dinafikan.

Di samping sifat-sifat buruk yang menjadi amalan hidup wanita, terdapat lagi sifat-sifat buruk yang perlu lelaki berhati-hati ketika memilih pasangan hidup, antaranya wanita tidak pandai menyesuaikan diri dengan orang lain.

Setelah bergelar isteri, wanita ini sukar untuk menyesuaikan diri dengan alam rumah tangga lebih-lebih lagi dengan keluarga suaminya, sehingga terpaksa mengawal suami daripada berbuat baik kepada ibu bapanya. Isteri yang menghalang suami berbuat baik kepada ibu bapanya ialah isteri yang akan gagal dalam mencipta kebahagiaan berkeluarga.

Wanita yang sering mengungkit-ungkit apa sahaja pemberian suami kepada ibunya dan sering kali membanding-bandingkan dengan dirinya yang tidak mendapat apa-apa daripada suaminya, sedangkan pemberian suami untuknya sudah lebih daripada memadai dan suaminya sudah memberi apa-apa yang dimintanya.

Sabda Rasulullah SAW memberi ingatan kepada lelaki supaya memilih wanita yang sering berterima kasih di atas pemberian suami dan sentiasa berpuas hati dengan apa yang telah disediakan oleh suami seperti sabdanya: “Wanita yang paling banyak berkatnya, ialah wanita yang paling mudah menanggungnya.” (riwayat Ahmad).

Terdapat juga sifat-sifat melampau yang lain yang boleh menyumbang kepada kebencian suami kepada isteri, iaitu isteri yang kedekut dan bakhil. Ini kerana isteri yang kedekut atau bakhil sukar untuk suami menumpang harta atau wang ringgitnya, apatah lagi saudara mara di sebelah pihak suaminya.

Isteri, apabila suami atau ibu bapa memberi nasihat atau menegur sering membantah, adalah daripada kalangan isteri yang sukar menerima nasihat atau tunjuk ajar.

Membantah mengundang pertengkaran dan menanam kebencian suami yang menjadikan suami malas untuk menasihati, menegur atau berbincang dengan isteri. Sikap membantah juga menanam kebencian, dendam, kecewa dan murung yang akan berakhir dengan kemusnahan rumah tangga.

No comments:

Ya Ridhollah..Wa ridhol waalidaini...