Monday 28 April 2008

Rumahku Syurgaku...

.:: KELUARGA BAHAGIA MASYARAKAT SEJAHTERA ::.







Mengapa sukar bahagia? Kadangkala kita seringkali bertanya di manakah kebahagiaan itu atau mungkin juga kita memikirkan mengapa kebahagiaan itu sukar hadir dalam istana yang kita bina bersama pasangan atau ada yang bertanya mengapa kebahagiaan saya kian menjauh.

Sebenarnya jawapan kepada kesemua persoalan itu ada di dalam diri kita sendiri. Yang menjadi musuh kita selama ini adalah sikap. Mahu atau tidak mahu sahaja untuk berubah. Bermulalah dengan mendefinisikan syurga rumahtangga anda sendiri.

Hakikat yang mesti diterima adalah syurga orang lain tidak mungkin sama dengan apa yang ingin dibina oleh kita. Ayat yang lebih mudah, kebahagiaan dalam kamus kita mungkin berbeza dengan kamus kebahagiaan orang lain. Merasa bahagia itu terlalu subjektif untuk dihuraikan. Jadi, ciptakan kebahagiaan itu sekarang sebelum kita kehilangannya.

Ada beberapa perkara yang kita anggap remeh namun ianya amat berkesan dalam membina perhubungan berumahtangga antara kita dan pasangan. Ianya termasuklah mengelipkan mata pada pasangan sesekali, memilih lagu yang boleh dinyanyikan bersama sewaktu memandu atau ketika beristirehat di rumah pada hujung minggu dan hari cuti atau setidak-tidaknya suami menyediakan sarapan untuk isteri dan anak-anaknya.

Tanya lah diri adakah kita mempraktikkan kesemua perkara di atas. Mungkin dalam 50, hanya seorang yang berbuat demikian atau tiada langsung.

Tiada salahnya memulakan setiap hari baru dengan kucupan mesra untuk pasangan. Ini bukan sahaja membuatkan pasangan merasa dihargai dan disayangi malah memcambahkan lagi benih-benih cinta dan menyemarakkan kasih sayang dalam ‘istana’ yang dibina.

Pernahkah kita bertanya ‘sesekali’ kepada pasangan, “Apakah yang saya boleh buat untuk membuatkan awak merasa bahagia?” Pernahkah kita bertanya begitu? Tepuk dada tanyalah selera!

Tidak sukar sebenarnya untuk mencipta bahagia. Jika orang lain boleh bahagia dengan cara mereka, kita juga punya cara untuk mencipta bahagia di dalam ‘syurga impian’ kita menurut kepada acuan kita sendiri.

Tidak sukar sebenarnya! Berubahlah sedikit demi sedikit. Paling utama selalulah berdoa kepada Allah untuk pasangan dan anak-anak. Mohonlah untuk kekalkan keharmonian dalam kehidupan berumahtangga. Bukankah Allah berfirman, antara lain maksudnya : “ Mohonlah kepada Aku nescaya Aku akan kabulkan.

Tips Rumahtangga Yang Bercirikan Syurga

  1. Meningkatkan ilmu pengetahuan pada seisi rumah itu.
  2. Penghayatan agama yang berterusan.
  3. Memastikan seisi rumahtangga dalam keadaan sihat sejahtera dan aman damai.
  4. Perlu adanya pengukuhan ekonomi.
  5. Komunikasi yang cemerlang.
  6. Wujudnya kemesraan antara suami dan isteri.
  7. Suasana rumahtangga yang selesa.

Tips Komunikasi Keluarga Cemerlang

  1. Berkongsi melakukan tugasan di rumah
  2. Berbincang dalam membuat perancangan sesama ahli kelaurga atau sebelum membuat keputusan yang memberi kesan kepada keluarga
  3. Menggunakan humor yang bersesuaian untuk mengurangkan ketegangan yang disebabkan oleh konflik yang mungkin berlaku.
  4. Meraikan hari ulangtahun perkahwinan dan hari lahir bersama ahli keluarga.
  5. Makan malam bersama.
  6. Beribadah secara berjemaah.
  7. Riadah bersama keluarga atau membawa keluarga pergi bercuti di tempat yang bersesuaian.
Tips Komunikasi ke Arah Meningkatkan
Kasih Sayang Berkekalan
  1. Berkongsi impian dan tugasan di rumah.
  2. Tidak mudah dan tidak sesekali merasa kecewa walaupun menempuh cabaran dan masalah dalam rumahtangga.
  3. tidak berdendam-kesumat antara satu sama lain.
  4. Sentiasa memohon maaf dan memaafkan kesilapan masing-masing.
  5. Sentiasa mencari emas dalam diri pasangan.
  6. Menganggap pasangan sebagai kawan yang paling akrab.
  7. Sentiasa bersolat jemaah dan saling doa mendoakan pasangan.
  8. Berterus terang mengenai perselisihan yang kecil untuk mengelakkan konflik yang lebih besar.
  9. Memahami kepentingan hubungan seks.
  10. Mencari perubahan untuk merangsang perubahan dalam rumahtangga.

Tips Komunikasi Cemerlang, Gemilang, Terbilang Pasangan Suami Isteri

  1. Berdoa kepada Allah S.W.T untuk sentiasa disayangi oleh pasangan.
  2. Sentuh dan tegur pasangan sebelum menyambung kerja lain apabila pasangan balik ke rumah.
  3. Berlatih untuk menjadi pendengar yang baik.
  4. Memberi pujian kepada pasangan mengenai penampilan masing-masing dan memberi galakan kepada perubahan yang cuba dibuat oleh pasangan.
  5. Memujuk apabila pasangan marah atau berkecil hati
  6. Ucapkan kata-kata syang atau romantik dua kali sehari.
  7. Memberi perhatian terhadap perkara yang disampaikan oleh pasangan dengan tekun.
  8. Peluk pasangan dengan penuh kasih sayang tujuh kali sehari.
  9. Ucapkan terima kasih atas setiap khidmat yang diberikan oleh pasangan.
  10. Sentiasa memastikan bilik tidur dalam keadaan kemas seperti baru berkahwin.

No comments:

Ya Ridhollah..Wa ridhol waalidaini...